Lebih 100,000 orang daftar BruHealth

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sejumlah 119,477 orang telah pun mendaftar sebagai pengguna aplikasi BruHealth yang diumumkan baru-baru ini dan daripada jumlah itu, 1,492 buah syarikat dan premis juga telah pun membuat pendaftaran.

Jumlah pendaftaran aplikasi kesihatan itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan kepada semua restoran-restoran dan premis-premis berkenaan yang mempunyai tempat duduk bagi dine-in untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan tidak menerima pelanggan melebihi daripada 30 peratus kapasiti yang lazimnya serta memastikan pelanggan mempunyai warna kod yang betul iaitu hijau atau kuning sebelum memasuki premis masing-masing.

Dengan adanya prosedur sedemikian, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, ia akan memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat pengesanan kontak sekiranya ada penularan jangkitan berlaku.

“Walaupun kita sudah memulakan pengurangan langkah-langkah sekatan, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk terus menerus menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing iaitu tidak berkumpul atau mengadakan perkumpulan ramai, mengamalkan penjarakan fizikal serta hanya keluar rumah jika perlu, tidak membawa mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas dan anak damit keluar, mengamalkan kebersihan tangan serta etika batuk dan bersin yang betul,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Seorang pekerja restoran membersihkan premis ketika kod QR BruHealth dan gel pembasmi kuman kelihatan di atas meja sebuah restoran di Kuala Belait. Aplikasi BruHealth setakat ini telah pun dimuat naik oleh seramai 119,477 orang, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan. – Gambar oleh Daniel Lim

Ia adalah bagi mengelakkan kemungkinan penularan jangkitan dan juga untuk membolehkan kita meneruskan pengurangan langkah-langkah sekatan pada fasa-fasa seterusnya pada masa akan datang.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga menggalakkan bagi premis-premis perniagaan untuk mendapatkan kod QR dan memaparkannya di pintu masuk premis atau kaunter pembayaran masing-masing bagi membolehkan orang ramai yang mengunjungi premis berkenaan mengimbas kod sebelum masuk dan keluar,” kata Yang Berhormat Dato.