KOTA KINABALU, 8 MAC – Lebih 11,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa kedua bermula April ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.
Beliau berkata setakat ini lebih 4,000 pegawai dan anggota PDRM di negeri itu telah menerima suntikan vaksin, selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan pada 24 Februari.
“Untuk fasa pertama ini juga, seramai 4,338 lagi anggota akan menerima suntikan vaksin dan dijangka dalam minggu ini semua mereka (fasa pertama) akan menerima suntikan itu. Saya juga berharap Persatuan Keluarga Polis (Perkep) juga akan diberi vaksin, kerana mereka juga membantu memantau warga polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ‘hari pertama persekolahan’ yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) Sektor Pembelajaran Abidin Marjan di Sekolah Kebangsaan Darau, di sini hari ini. – Bernama































