Lebih 120 hadiri seminar amal

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Lebih 120 orang telah menghadiri Seminar Amal Teknologi Konkrit ke-5 anjuran Readymix Concrete (B) Sdn Bhd yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

Pada seminar kali ini, Readymix Concrete (B) Sdn Bhd telah menjemput seorang pakar konkrit dari Malaysia, Yeo Shih Horng yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan sejak menamatkan pengajian di Universiti Malaya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, Awang Hamiddon bin Haji Said yang juga merasmikan seminar berkenaan.

Dalam ucapan perasmiannya, Awang Hamiddon berkata, seiring dengan berkembangnya negara ke arah wawasan 2035, sudah menjadi fakta bahawa terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk memberi kesedaran lanjut mengenai pentingnya konkrit dan inovasinya.

Menurutnya, dalam industri pembinaan, konkrit memainkan peranan penting dan dengan seminar berkenaan diharap dapat menyampaikan matlamatnya dalam mewujudkan kesedaran.

Beliau seterusnya menambah, 100 peratus daripada pendaftaran bagi seminar amal berkenaan akan disumbangkan kepada SMARTER Brunei untuk keperluan operasi ha-rian mereka dalam memberikan pendidikan dan memberi sokongan kepada anak-anak autisme.

Antara yang hadir pada seminar amal itu ialah ahli-ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), dari syarikat perunding swasta, syarikat pembinaan, firma arkitek dan pelajar UTB.

Penganjur acara Readymix, Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi mengulas bahawa Readymix sentiasa menjadi penyokong kuat organisasi yang menyediakan peluang pendidikan kepada mana-mana individu.

Tahun ini, tambah beliau, mereka memilih SMARTER Brunei sebagai badan amal yang mereka bantu dalam operasi harian mereka.

Majlis diteruskan dengan Awang Hamiddon menyampaikan sumbangan kepada Pemangku Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

Pengarah Readymix Concrete (B) Sdn Bhd bersama tetamu yang lain.