Lebih 120 maut insiden tanah runtuh

YANGON, 2 JULAI – Sekurang-kurangnya 120 mayat pekerja di lombong jed telah dibawa keluar daripada lumpur selepas berlakunya tanah runtuh di kawasan itu di utara Myanmar, yang merupakan antara kemalangan terburuk melanda industri berbahaya itu dan sering merekodkan kematian setiap tahun kerana tidak dikawal selia dengan baik di negara.

“Mayat pelombong ditemui dalam keadaan berlumuran dengan lumpur… sehingga kini sebanyak 120 mayat ditemui,” menurut kenyataan itu.

Melalui foto yang dipaparkan di Facebook milik bomba itu, kerja mencari dan menyelamat terpaksa dilakukan dengan melalui lembah ditenggelami oleh lumpur.

Pasukan penyelamat turut membaluti mayat yang berjaya dibawa keluar daripada lumpur dengan kain kanvas dalam keadaan masih hujan.

Pihak polis memberitahu AFP, pekerja di lombong itu mengabaikan amaran oleh pihak berkuasa supaya tidak melakukan kerja penggalian ketika berlakunya hujan.

Seorang wanita menangis ketika meratapi mayat mangsa yang ditemui selepas tanah runtuh di Yangon, kelmarin. – AFP

AFP juga dimaklumkan pihak polis sebelum ini bahawa sehingga tengah hari semalam, sebanyak 99 mayat ditemui manakala 20 lagi pekerja cedera parah.

Susulan tragedi itu, pasukan penyelamat berhempas pulas sejak awal pagi untuk membawa keluar mayat daripada lautan lumpur dengan menarik mereka ke permukaan menggunakan tayar sebagai ‘rakit’.

Menurut mereka, kerja mencari dan menyelamat turut berdepan cabaran dan terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat.

Pasukan polis berkata, angka kematian mungkin boleh melonjak lebih tinggi sekiranya pihak berkuasa tidak memberikan amaran kepada pekerja supaya menjauhi lokasi lombong sehari sebelum kejadian.

“Ia boleh menjadi lebih daripada angka korban ini, namun amaran kita mungkin berjaya menyelamatkan beberapa orang daripadanya,” Superintendan Than Win Aung memberitahu AFP. – AFP