Lebih 1,400 petugas imigresen pantau pintu-pintu masuk S’wak

TEBEDU, SARAWAK, 15 OKT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak telah meletakkan seramai 1,442 petugasnya untuk mempertingkatkan kawalan di pintu-pintu masuk utama negeri ini dalam menghadapi gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Pengarah JIM Sarawak Datuk Ken Leben berkata jabatan itu terus dipertanggungjawabkan untuk menjaga sembilan pintu masuk di antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia, empat pintu masuk bersempadanan dengan Brunei dan satu pintu masuk dengan Sabah.

“Selain itu juga, JIM Sarawak turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan di 10 pelabuhan dan tujuh lapangan terbang di seluruh Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sempadan Kita, Maruah Kita anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Program yang diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu itu telah dirasmikan oleh Pengarah SPRM Sarawak Mohd Zaki Hassan.

Menurut Ken, keupayaan JIM Sarawak turut dipertingkatkan lagi dengan pemasangan sistem kawalan pergerakan biometrik secara pengecaman wajah yang telah dipasang di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. – Bernama