Lebih 145,000 penduduk Jepun dipindahkan

TOKYO, 8 JULAI – Lebih 145,000 penduduk di wilayah Kyoto dan Nagano di pulau Honshu dipindahkan dan amaran berpindah juga dikeluarkan di empat wilayah lain selepas hujan lebat melanda bahagian tengah Jepun.

Menurut agensi berita Sputnik – memetik NHK hari ini – amaran untuk berpindah itu dikeluarkan di wilayah Fukushima, Miyagi, Osaka dan Shiga.

Jepun dilanda banjir dan tanah runtuh sejak Sabtu.

Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya 23 hospital terjejas selain menyebabkan gangguan bekalan air dan elektrik.

Manakala 28 pusat jagaan, 24 taska dan lima kemudahan orang kelainan upaya turut mengalami kerosakan.  Hujan yang bermula pada awal Sabtu di pulau Kyushu telah menyebabkan kerosakan yang meluas di seberang wilayah barat daya negara itu, menyebabkan air di sungai-sungai melimpah keluar di tebing dan lereng bukit yang runtuh.

Ketika cuaca bergerak ke utara, Badan Meteorologi Jepun memberi amaran kemungkinan akan berlakunya hujan lebat di wilayah Gifu dan Nagano, tetapi kemudian menurunkan amarannya. Perintah pemindahan dikeluarkan untuk ratusan ribu orang. Walaupun demikian, seorang pegawai JMA memberi amaran mengenai ‘hujan yang belum pernah terjadi sebelumnya’ mungkin berlaku di wilayah-wilayah di bahagian tengah Jepun.

“Terutama di daerah-daerah yang dinyatakan berisiko tinggi untuk tanah runtuh dan banjir, kemungkinan ancaman adalah sangat tinggi seperti yang sudah berlaku sebelum ini,” tambahnya.

Sekurang-kurangnya 80,000 pekerja penyelamat telah dikerahkan untuk membantu mangsa-mangsa yang terkandas akibat banjir dan tanah runtuh, dengan 10,000 lagi tentera berganding bahu bersama mereka. – Bernama/AFP

Seorang lelaki berjalan di hadapan rumah yang rosak teruk susulan hujan lebat dan banjir selama beberapa hari melanda kampung Kuma, wilayah Kumamoto, Jepun, 8 Julai. – AFP