RAMALLAH, 30 APRIL – Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin mendedahkan seramai 14,784 pelajar terbunuh manakala 24,766 lagi cedera sejak pencerobohan Israel di Gaza dan Tebing Barat yang bermula pada 7 Oktober 2023 lalu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, kementerian itu menjelaskan bahawa lebih 14,649 pelajar terbunuh di Gaza dan sekurang-kurangnya 23,936 lagi cedera.
Di Tebing Barat, seramai 135 pelajar terkorban dan 830 cedera, selain 724 pelajar telah ditahan.
Kementerian turut memaklumkan seramai 880 guru dan kakitangan pentadbiran terbunuh, manakala sekitar 4,247 lagi cedera di Gaza dan Tebing Barat, termasuk lebih 193 kakitangan pendidikan turut ditahan di Tebing Barat.
Sebanyak 352 sekolah kerajaan pula mengalami kerosakan akibat serangan Israel, termasuk 111 yang musnah sepenuhnya.
Sebanyak 91 sekolah kerajaan dan 89 sekolah UNRWA juga turut dibom dan dirosakkan.
Kementerian juga melaporkan bahawa 20 institusi pengajian tinggi mengalami kerosakan, dengan 60 bangunan universiti musnah sepenuhnya.
Di Tebing Barat, sebanyak 146 sekolah dan lapan universiti diceroboh dan dirosakkan, manakala dinding beberapa sekolah di Jenin, Tulkarem dan Tubas turut dimusnahkan.
Pihak berkuasa Israel juga mengeluarkan amaran mengenai penutupan sekolah-sekolah UNRWA di Baitulmuqaddis pada 8 Mei ini.
Kementerian berkenaan menekankan bahawa seramai 788,000 pelajar di Gaza masih tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah dan universiti sejak pencerobohan bermula, dengan ramai antara mereka mengalami trauma psikologi serta berdepan masalah kesihatan yang serius. – Bernama/Wafa
