Lebih 150 hadiri sesi kedua KABSBM

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Lebih 150 orang telah menghadiri sesi kedua Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa yang berlangsung secara maya melalui penstriman langsung dari platform Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei dan aplikasi Zoom, hari ini.

Antara yang menghadiri kongres anjuran DBP Brunei itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebu-dayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, para pemakalah dari dalam dan luar negara, mantan-mantan pengarah DBP, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa dari dalam dan luar negara.

Pembentang pada sesi kedua berkenaan terdiri daripada Dr Rusmadi bin Baharudin dari DBP Malaysia dengan kertas kerja bertajuk ‘Kamus Dewan Perdana: Mengharkatkan Perkamusan Melayu ke Persada Leksikografi Dunia’.

Antara yang dibincangkan ialah kodifikasi bahasa atau pembinaan bahasa yang bertujuan untuk memantapkan sesuatu bahasa dari segi sistemnya secara menyeluruh, iaitu ejaan, sebutan, tatabahasa, istilah kosa kata dan laras bahasanya. Kamus juga sebagai sumber takungan maklumat, yang menjadi bahagian penting dalam pembinaan, pengembangan dan pembakuan bahasa.

Segmen kedua dalam pembentangan juga melihat kepada sejarah bagaimana munculnya projek Kamus Dewan Perdana yang telah berjaya diusahakan oleh DBP Malaysia.

Dianggarkan lebih 120,000 entri dan subentri yang terdiri daripada kata umum, kata nama khas dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, perkongsian sesi kedua siri KABSBM kali ini membuka peluang kepada para peserta negara luar terutama Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk sama-sama memperoleh ilmu dan berkongsi maklumat berkenaan tajuk kali ini.

Sesi kedua KABSBM yang berlangsung secara maya sempena Bulan Bahasa telah diadakan kelmarin.