BENGHAZI, LIBYA, 11 SEPT – Sekurang-kurangnya 150 orang terkorban dalam banjir kilat di timur Libya akibat ribut Daniel yang melanda Laut Mediterranean, menurut seorang pegawai hari ini.
Imej yang dirakam oleh penduduk kawasan yang terjejas menunjukkan tanah runtuh besar, bangunan runtuh, dan kawasan perumahan dibanjiri.
“Setakat ini, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh akibat banjir dan hujan lebat yang dicetuskan oleh ribut Daniel di Derna, kawasan Jabal al-Akhdar, dan pinggiran Al-Marj,” kata Mohamed Massoud, jurucakap bagi pentadbiran yang berpangkalan di Benghazi, Libya, kepada AFP.
“Selain itu, berlaku juga kerosakan besar yang melanda harta awam dan persendirian,” tambahnya.
Beliau menyatakan bahawa perdana menteri kerajaan yang berpangkalan di timur, Oussama Hamad, bersama ketua jawatankuasa penyelamat dan menteri-menteri lain telah pergi ke Derna untuk menilai tahap kerosakan.
Kerajaan Hamad yang bersaing dengan pentadbiran peralihan yang diiktiraf antarabangsa yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli, hari ini mengisytiharkan Derna sebagai ‘kawasan bencana.’
Pakar-pakar menggambarkan ribut Daniel, yang turut melanda sebahagian Greece, Turkiye dan Bulgaria dalam beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh sebagai ‘ekstrem dari segi kadar hujan yang turun dalam masa 24 jam.’
Ribut itu melanda Libya timur pada petang kelmarin, terutamanya bandar pantai Jabal al-Akhdar, tetapi juga Benghazi, di mana perintah berkurung diisytiharkan dan sekolah-sekolah ditutup selama beberapa hari.
Pasukan penyelamat juga dihantar ke Derna, yang terletak kira-kira 900 kilometer di timur ibu negara Tripoli. – AFP
