Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Lebih 150 maut, pertempuran penjara Syria

    HASAKEH, SYRIA, 24 JAN – Tentera Kurdish menyekat bandar Syria hari ini untuk memerangkap pejuang kumpulan Islamic State (IS) yang menyerang penjara di sana lima hari sebelumnya, menyebabkan lebih 150 terbunuh dalam pertempuran sengit.

    Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish menuduh militan IS menggunakan ratusan kanak-kanak bawah umur sebagai ‘perisai manusia’ di dalam penjara Ghwayran di bandar Hasakeh di timur laut.

    Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNICEF menggesa perlindungan terhadap kira-kira 850 kanak-kanak bawah umur yang ditahan di dalam penjara, daripadanya berusia seawal 12 tahun, memberi amaran bahawa mereka boleh “dicederakan atau direkrut secara paksa” oleh IS.

    Lebih 100 pejuang IS Khamis lalu menyerbu penjara Ghwayran menggunakan trak berisi bom dan senjata berat, mencetuskan pertempuran selama beberapa hari di dalam kemudahan itu dan di kawasan kejiranan.

    Pertempuran itu reda kelmarin apabila SDF yang disokong AS menyatukan kawalan ke atas kawasan sekitar penjara dan mengisytiharkan seluruh bandar disekat selama seminggu.

    “Untuk menghalang sel pengganas daripada melarikan diri, pentadbiran Kurdish di timur laut Syria mengumumkan penutupan sepenuhnya di kawasan di dalam dan luar bandar Hasakeh untuk tempoh tujuh hari bermula 24 Januari,” kata pentadbiran itu.

    Perniagaan diarah tutup kecuali perkhidmatan penting, seperti pusat perubatan, kedai roti dan pusat pengedaran bahan api.

    Orang awam bersembunyi hari ini di rumah mereka ketika pejuang Kurdish yang disokong oleh pakatan diketuai AS menggeledah kawasan itu untuk mencari tempat persembunyian militan, kata seorang wartawan AFP.

    SDF mendirikan beberapa pusat pemeriksaan di pintu masuk ke Hasakeh, dengan langkah keselamatan yang lebih ketat dikenakan di kawasan kejiranan bersebelahan dengan penjara, kata wartawan itu. – AFP

    SDF meronda jalan di bandar Hasakeh di utara Syria kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...