Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim, Keluarga HBHP telah menganjurkan aktiviti keluarga dengan tema Keluarga Harmoni Penyatu Silaturahim di tapak perkhemahan Hutan Simpan Berakas kelmarin.
Acara yang julung kalinya diadakan itu telah menghimpunkan lebih 150 ahli keluarga yang hadir untuk memupuk hubungan kekeluargaan dan menyemai nilai kebersamaan.
Pelbagai aktiviti menarik diatur bagi memeriahkan acara yang antaranya seperti pertandingan dan aktiviti sukaneka yang melibatkan pelbagai generasi.
Selain itu, sesi perkongsian nilai kekeluargaan turut diadakan untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturahim serta menanamkan kesedaran tentang pentingnya keharmonian keluarga dalam membentuk masyarakat yang sejahtera.
Dengan adanya acara seumpama ini, ia memberi peluang kepada ahli keluarga berkumpul, berinteraksi dan saling mengenali dengan lebih rapat terutamanya dalam dunia moden yang serba sibuk.
Acara diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan yang mana aktiviti ini telah berjaya mencapai matlamatnya untuk mewujudkan suasana harmoni dan penuh kasih sayang dalam kalangan keluarga HBHP.


