Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Lebih 150 orang terdiri dari kalangan ahli jawatankuasa dan penduduk kampung telah bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Panjang, Kampung Batu Marang di Jalan Kota Batu, dalam kempen yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu undangan ialah Ketua Unit Tanah-tanah Perkuburan Islam, Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohd Aswandi bin Sulaiman.
Turut hadir ialah Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang serta penduduk Kampung Batu Marang.
Pegawai Hal Ehwal Masjid/Ketua Imam, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar selaku Pengerusi Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang menyatakan bahawa tahun ini merupakan kali pertama mereka mengadakan kempen kebersihan pada hari Ahad yang mana pada tahun-tahun sebelumnya ia diadakan pada hari Jumaat.
Beliau menyatakan rasa syukur kerana sambutan dan sokongan daripada penduduk kampung amat menggalakkan dan membanggakan kerana bergotong-royong memotong rumput dan menebang pokok-pokok.

Kempen juga telah diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Saiful Rizal.
Dalam pada itu, baru-baru ini, jawatankuasa takmir masjid berkenaan juga telah menganjurkan ceramah khas sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang diadakan di masjid berkenaan selepas menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang disampaikan oleh penceramah undangan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Hadir di majlis berkenaan ialah Penghulu Mukim Mentiri, Pengarah Haji Abdul Rahman bin Haji Naim selaku Penasihat jawatankuasa takmir, Haji Maidin selaku Penasihat jawatankuasa takmir, Pengiran Haji Merali bin Pengiran Ismail selaku Penasihat jawatankuasa takmir dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah dan penduduk Kampung Batu Marang.
Ceramah antara lain mengongsikan pelbagai ilmu yang bermanfaat untuk dijadikan panduan yang boleh diguna pakai dari semasa ke semasa.