Lebih 150 terima bantuan Projek Ikhlas 12.0

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam hari ini telah menghulurkan bantuan dalam Projek Ikhlas 12.0 mereka yang bertujuan membantu meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan di negara ini.

Penganjuran Projek Ikhlas kali ini menyasarkan lebih 150 buah keluarga termasuk mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin akibat COVID-19 serta warga-warga emas yang bersendirian serta orang-orang yang berkeperluan khas di seluruh negara. Presiden PBSM, Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim ketika ditemui hari ini telah mengongsikan bahawa antara golongan masyarakat yang menjadi tumpuan untuk dibantu pada kali ini ialah golongan asnaf fakir miskin dan mualaf di keempat-empat daerah di seluruh negara.

Projek Ikhlas 12.0 yang merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh PBSM setiap kali menjelangnya bulan suci Ramadan, kali ini mempunyai keistimewaan dan kelainan daripada sebelumnya yang mana ia mempelawa orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sedekah berbentuk makanan asasi dengan cara pandu lalu.

Haji Muhammad Suhaimi menjelaskan bahawa perkara tersebut dilaksanakan adalah bagi menyahut saranan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang mana menggalakkan penjarakan sosial diterapkan dalam apa jua aktiviti yang diadakan pada masa penularan wabak COVID-19. Beliau turut menjelaskan, segala makanan yang berjaya dikumpulkan adalah sumbangan daripada pelbagai pihak seperti syarikat-syarikat swasta tempatan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) serta pihak persendirian yang akan mula diagihkan pada hari ini dan hari-hari seterusnya.

PBSM ketika menyediakan bantuan makanan dalam Projek Ikhlas 12.0.