Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sejumlah 240 botol dan 1,200 tin minuman keras serta 150 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk ke negara ini telah ditemukan di dua lokasi berasingan.
Menurut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), penemuan barang tegahan berkenaan adalah hasil rondaan pencegahan yang dijalankan di dua kawasan di Daerah Temburong.
Kenyataan menjelaskan, hasil daripada rondaan sepadu keanggotaan daripada Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, PPDB berserta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan tanpa pemandu ditinggalkan di kawasan persimpangan Jalan Bekarut, Temburong pada 18 Februari sekitar 10:35 malam.
Beberapa bungkusan kotak berwarna hitam tersimpan di dalam kenderaan dipercayai barangan tegahan ditemui dan dibawa ke Balai Polis Bangar PPDB bersama kereta terbabit bagi siasatan awal. Hasil daripada pemeriksaan tersebut telah mendapati sebanyak 140 botol dan 816 tin minuman keras pelbagai jenama berserta 50 karton rokok.
Manakala itu, insiden kedua berlaku pada hari yang sama sekitar 11 malam apabila keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, PPDB telah menemukan beberapa kotak plastik hitam mencurigakan di kawasan semak berdekatan Kuala Sungai Bekarut.
Kesemua barangan tersebut dibawa ke Balai Polis Bangar bagi dijalankan siasatan. Hasil pemeriksaan telah mendapati sebanyak 100 botol dan 384 tin minuman keras serta 100 karton rokok pelbagai jenama. Kenyataan menyatakan, kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.