Lebih 1,500 meriahkan hari kanser sedunia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Lebih 1,500 orang hadir memberikan sokongan untuk meningkatkan kesedaran mengenai usaha menangani kanser menerusi penyertaan mereka dalam Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia 2020 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Acara dianjurkan bersama oleh Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan itu menyaksikan lebih daripada 1,500 orang peserta mendaftar untuk menyertai pelbagai kategori larian, berjalan kaki dan berbasikal yang diadakan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan turut serta dalam acara berjalan kaki ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Acara turut menyaksikan penyertaan dan sokongan daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara juga disertai isteri-isteri menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penyokong acara dan orang ramai yang sama-sama hadir untuk memeriahkan serta sama-sama menyokong inisiatif kesedaran penyakit kanser.

Menteri-menteri kabinet dan para peserta menyertai senamrobik sebelum acara bermula.
Menteri-menteri kabinet bergambar ramai dengan wakil penaja dan penyokong Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia 2020 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan melihat foto-foto yang memenangi Pertandingan Fotografi Borneo Bulletin.

Terdahulu, acara dimulakan dengan sesi senamrobik dan diikuti dengan pelepasan peserta kategori berbasikal sejauh 10 kilometer yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar, pelepasan peserta kategori pertandingan larian 11 kilometer oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, pelepasan peserta berjalan kaki sejauh 3 kilometer yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan pelepasan peserta berjalan kaki sejauh 2 kilometer yang disertai oleh survivor kanser bersama keluarga mereka yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Di samping itu turut diserikan dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan untuk melibatkan penyertaan orang ramai termasuk pameran kesihatan yang mengetengahkan inisiatif kesedaran kanser daripada rakan-rakan kongsi acara termasuk Breast Cancer Support Group (BBCSG), Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Gleneagels JPMC, Kopi bersama Doktor yang mana ia memberikan peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan doktor-doktor pakar PJSC mengenai kanser, sesi taici serta cabaran aktiviti kecergasan.

Acara sambutan itu disokong oleh lebih 20 rakan kongsi dan penaja daripada sektor swasta, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang menjadikan Sambutan Hari Kanser

Sedunia 2020 salah satu kempen kesedaran kanser yang terbesar di negara ini.

Hari Kanser Sedunia disambut setiap tahun pada 4 Februari yang diketuai oleh Kesatuan bagi Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) dengan matlamat utama sambutan adalah untuk menyatupadukan dunia dalam satu suara untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan menggalakkan pencegahannya, pengesanan awal dan rawatan.

Hari Kanser Sedunia bagi 2019 hingga 2021 membawa tema ‘I Am and I Will’ yang mana ia bertujuan untuk memperkasakan serta menyeru setiap individu untuk membuat komitmen peribadi dan menjana perubahan serta menggerakkan tindakan dalam usaha mementang kanser.