Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Acara Walk, Run & Cycle (WRC) yang diadakan seawal jam 6 pagi hingga 1 petang bermula dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila lebih daripada 1,500 peserta turut mengambil bahagian.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan salah satu acara Walk, Run & Cycle, iaitu acara Ekpedisi Berbasikal 21km ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman turut menyertai Ekspedisi Berbasikal 12km. Acara lain yang diadakan sempena Walk & Run ialah Fun Run 3km, 5km, 12km dan juga 21km.
Turut hadir melepaskan para peserta perlumbaan ialah Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abd Wahab dan Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.
Pemegang Amanah (Dasar & Perancangan) Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman turut hadir dan menyampaikan penghargaan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, kor diplomatik, penaja dan jawatankuasa penganjur.


Selain ekpedisi, perlumbaan basikal King of Criterium (KoC) juga diadakan dengan tujuh kategori, antaranya ialah Kategori Bawah 23 tahun, Terbuka 24 hingga 39 tahun, Master A bagi usia 40 hingga 49 tahun, Master B bagi 50 tahun ke atas, Terbuka Wanita, Novis bagi 39 tahun ke bawah dan Novis bagi 40 tahun ke atas. Acara ini juga disertai oleh para penunggang dari Miri.
Selain itu, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam juga telah mengadakan cabutan bertuah bagi para peserta yang terlibat dalam Walk, Run & Cycle berkenaan, di mana para peserta bertuah memenangi salah satu daripada tujuh basikal termasuk basikal ‘Mountain Bike’ dan juga hadiah-hadiah yang lain.
Bagi acara larian 12km lelaki, Awang Mohd Norisman muncul juara, tempat kedua dimenangi oleh Haji Jupli dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Mohd Qamarul Ariffin. Manakala bagi kategori perempuan, Dawn Lovell muncul juara, naib juara Dayang Nur Asilah dan Dayang Liza Hamid mendapat tempat ketiga.
Bagi acara larian 21km, juara kategori lelaki ialah James Gikungka, Awang Sefli Ahar mendapat tempat kedua dan Awang Samsul Zamri mendapat tempat ketiga. Bagi perempuan, juaranya ialah Elleyina, Kathryn Deverlein dan Dayang Shazana masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Manakala bagi perlumbaan basikal KoC, Kategori Terbuka 24 hingga 39 tahun telah dimenangi oleh Awang Azmi bin Abdul Hazid, Awang Abdul Hadrie Morsidi muncul naib juara dan Ng Yong Li mendapat tempat ketiga.
Bagi Kategori Bawah 23 tahun, Awang Mohd Hamizan bin Haji Herman muncul, diikuti oleh Awang Ahmad Jawaohir bin Haji Johor di tempat kedua dan Awang Muhd Al-Waie bin Haji Aini di tempat ketiga.
Kategori Terbuka Wanita dimenangi oleh Angie On Won Chyi, tempat kedua dimenangi oleh Dayang Zahidah Jailani dan Hajah Marlita binti Matarsat mendapat tempat ketiga.



Bagi Master A, juaranya ialah Haji Hamdani bin Haji Besar, Awang Shahron Basman mendapat tempat kedua dan Awang Reduan Yusop mendapat tempat ketiga. Bagi Master B pula, Pengiran Zaman bin Pengiran Haji Matasan telah meraih tempat pertama, diikuti oleh Awang Hamjah Hujan dan Awang Naain Haji Tuah masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Bagi Novis 39 tahun ke bawah, Awang Muhd Imani Zayidi bin Haji Junaidi meraih tempat pertama, Pengiran Haji Muhd Azizan bin Pengiran Haji Petra mendapat tempat kedua dan Awang Abdul Waie bin Seri Puspa mendapat tempat ketiga.
Novis 40 tahun ke atas menyaksikan Awang Rizal Aiman Salleh muncul juara, Awang Adi Putera mendapat tempat kedua dan Tony Haji Karim mendapat tempat ketiga.
Walk, Run & Cycle dianjurkan bagi mengumpul dana khusus untuk mengisi Tabung Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bagi menampung dan membiayai perbelanjaan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan bagi menangani kesejahteraan insan-insan istimewa di pusat berkenaan.
Acara berkenaan juga diadakan sebagai menyokong inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam program Bandarku Ceria di Bandar Seri Begawan, selain untuk menerapkan kesedaran dan penglibatan orang awam dalam membantu orang-orang berkeperluan khas.