Lebih 15,900 sudah menerima vaksin COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Seramai 15,905 penduduk di negara ini sudah pun menerima vaksinasi bagi mencegah koronavirus sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, jumlah mereka yang sudah menerima dua dos lengkap adalah seramai 862 orang manakala 15,403 adalah mereka yang baharu menerima dos pertama.

Sementara itu, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi orang yang divaksinasi iaitu seramai 12,418, Daerah Belait seramai 1,484, Daerah Tutong berjumlah 1,361 orang dan Daerah Temburong seramai 642 orang.

Walaupun pengambilan vaksin COVID-19 tidak mandatori namun Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan menasihati penduduk dan rakyat di negara ini bahawa mereka akan mudah terdedah kepada risiko jangkitan penyakit COVID-19 jika tidak mengambil vaksin.

Mendapatkan suntikan vaksin adalah langkah paling berkesan untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan masyarakat daripada kesan buruk pandemik tersebut.

Sehubungan itu, orang awam dialu-alukan untuk membuat pendaftaran bagi suntikan vaksin apabila tempahan bagi slot suntikan diumumkan untuk orang awam bagi fasa seterusnya.

Bagi maklumat terkini orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan atau talian nasihat kesihatan 148 dan menerusi aplikasi BruHealth.

Gambar fail menunjukkan program vaksinasi fasa pertama yang dilaksanakan di Pusat Vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, April lalu.