Lebih 169,000 permohonan dapatkan KGC Sarawak

KUCHING, 3 OGOS – Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak telah menerima 169,850 permohonan  daripada warga Sarawak berumur 60 tahun ke atas bagi mendapatkan kad Kenyalang Gold (KGC) setakat ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 161,761 permohonan telah dihantar secara manual dan 8,089 permohonan lagi dibuat menerusi dalam talian.

“Sejumlah 100,903 kad KGC telah dicetak dengan 16,964 daripadanya sudah diagihkan menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian, ketua masyarakat, ketua kaum dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri,”  katanya selepas majlis penyampaian KGC di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini. Pada majlis itu, seramai 3,595 pemohon dari Bahagian Kuching menerima kad masing-masing.

KGC merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang memberikan kemudahan diskaun, rebat atau pengecualian yuran untuk warga Sarawak berusia 60 tahun ke atas bagi pembelian barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pihak swasta, agensi kerajaan dan pusat komersial yang menjadi rakan strategik di bawah inisiatif itu. – Bernama

Datuk Seri Fatimah Abdullah melihat dari dekat Kad Kenyalang Gold pada pelancaran semula kad tersebut berikutan kesukaran warga emas mendapat perkhidmatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelmarin. – Bernama