Lebih 170 maut banjir di Yaman

SANAA, 12 OGOS – Sekurang-kurangnya 172 mangsa maut di Yaman akibat banjir kilat sepanjang bulan lalu susulan hujan lebat yang meranapkan rumah dan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Bencana alam itu memberi tamparan hebat kepada negara yang dilanda krisis kemanusiaan terburuk di dunia ekoran perang antara pemerintah disokong Arab Saudi dan pemberontak bersekutu dengan Iran.

Di wilayah Maarib yang dikuasai pemerintah di timur Sanaa, 19 kanak-kanak adalah antara 30 orang yang terkorban akibat banjir, menurut pegawai pemerintah.

Sebanyak 1,340 keluarga hanya mampu menyaksikan khemah dan barangan mereka dihanyutkan di kem pelarian di wilayah itu, kata agensi yang menguruskan mereka.

Di wilayah Lahij yang dikuasai pemerintah, tujuh orang lemas apabila kenderaan mereka dihanyutkan arus sungai, manakala empat lagi terbunuh di jalan menghubungkan selatan wilayah Hadramawt dab Shabwa.

Di kawasan utara yang dikuasai pemberontak, banjir mengorbankan 131 orang dan mencederakan 124 mangsa selain memusnahkan 106 rumah serta bangunan selain merosakkan 156 lagi antara pertengahan Julai hingga 7 Ogos lalu.

UNESCO menzahirkan rasa sedih susulan kerosakan akibat banjir pada bangunan bersejarah di bandar Sanaa, Zabid dan Shibam yang berada dalam senarai tapak warisan dunia. – AFP

Buruh Yaman mengalihkan serpihan runtuhan kerja-kerja pemulihan tapak disenarai dalam UNESCO susulan hujan lebat di bandar Sanaa, 12 Ogos. Hujan lebat mengakibatkan banjir di Yaman yang mengorbankan lebih 170 orang. – AFP