Lebih 170 orang diseludup ke Myanmar

YANGON, 8 Nov – Sejumlah 177 orang telah diseludup masuk ke Myanmar dalam tempoh 10 bulan pertama 2018, lapor agensi berita China Xinhua memetik akhbar rasmi Global New Light of Myanmar, hari ini.

Menurut laporan akhbar yang memetik kenyataan polis anti-penyeludupan manusia itu, sejumlah 502 suspek diberkas sepanjang tempoh itu manakala 277 mangsa telah diselamatkan.

Selain itu, polis telah menumpaskan sejumlah 136 kes kahwin paksa, 24 kes pelacuran paksa, 11 kes eksploitasi buruh, tiga kes pengambilan anak angkat secara haram dan satu kes penjualan kanak-kanak secara paksa. Mangsa sindiket penyeludupan manusia terbabit telah dihantar ke pasaran domestik dan negara jiran termasuk China dan Thailand.

Negeri Shan di Myanmar menduduki tangga teratas bagi jumlah kes tertinggi diikuti wilayah Yangon dan Mandalay serta negeri Kachin.

Kerajaan Myanmar telah menubuhkan sebuah pejabat perhubungan bagi anti-penyeludupan manusia dengan rakan sejawatnya di China dan Thailand, pada masa sama, menyertai kerjasama dengan enam negara di rantau Mekong dan anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). – Bernama