Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lebih 17,000 haiwan ternakan, peliharaan mati akibat banjir di Pahang

    KUANTAN, 6 JAN – Sebanyak 17,403 haiwan ternakan dan peliharaan dilaporkan mati akibat banjir di Pahang dengan jumlah kerugian dianggar melebihi RM1.4 juta setakat semalam, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Dr Kamaliah Ghazali.

    Beliau berkata kerugian berkenaan melibatkan 100 pemilik dan penternak yang kebanyakan berada di daerah Kuantan, Bentong dan Pekan. 

    Ayam merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 14,849 ekor diikuti itik (1,100), ayam belanda (412), lembu (307), arnab (210), kambing (132), bebiri (64), kucing (12), anjing (lapan), kerbau (empat) dan lain-lain (305).

    “Setakat ini jabatan menerima maklumat berkaitan haiwan yang terjejas ekoran banjir sebanyak 40,473 ekor dan daripada jumlah itu 17,403 dilaporkan mati akibat lemas.

    “Saya percaya angka ini sebenarnya lebih lagi kerana masih ada pemilik dan penternak tidak membuat laporan kepada kita berhubung kematian atau kehilangan haiwan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kucing kepada mangsa banjir di Surau Bukit Rangin Perdana 2 di sini hari ini.

    Selain itu, Kamaliah berkata bagi meringankan beban penternak dan pemilik haiwan terjejas banjir, pihaknya turun padang mengedarkan makanan haiwan.

    “Semasa banjir kita juga membantu dari segi memindahkan haiwan ke tempat selamat dan untuk pascabanjir, kami turut sumbangkan makanan kepada pemilik haiwan misalnya untuk hari ini seramai 24 pemilik kucing menerima bantuan tersebut,” katanya.

    Penerima sumbangan, Nurashikin Mohd Radzi, 41, berkata beliau menghargai bantuan berkenaan yang dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli makanan 16 kucing peliharaannya.

    “Terima kasih memberi bantuan ini kerana dalam tempoh sebulan saya belanja lebih RM300 untuk makanan kucing sahaja, dengan rumah dilanda banjir banyak barangan perlu dibaiki, jadi sumbangan seumpama ini memang diperlukan,” katanya dengan menambah tujuh kucingnya turut mati akibat bencana itu. – Bernama

    Haiwan ternakan iaitu itik kelihatan berenang di dalam air akibat bencana banjir di Kampung Seberang Batu Badak, pada 5 Januari. – Berrnama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...