Lebih 180 premis diperiksa

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan telah meneruskan siri lawatan ke premis-premis perniagaan di sekitar Daerah Belait dan Daerah Tutong dalam memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja tempatan ke dalam Skim TAP dan SCP.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, sebanyak 78 premis perniagaan di Daerah Belait dan 111 premis perniagaan di Daerah Tutong telah dilawati oleh pegawai-pegawai pemeriksa TAP dan hasil daripada lawatan tersebut, seramai 12 orang pekerja tempatan di Daerah Belait dan 31 orang pekerja tempatan di Daerah Tutong didapati masih belum didaftarkan di bawah Skim TAP dan SCP.

Majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan telah pun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya.

Dengan ini, TAP dalam kenyataannya mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mana-mana majikan untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah Skim TAP dan SCP.

Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat dimestikan berdaftar dan mencarum ke Skim TAP dan SCP.

Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, pekerja di dalam tempoh percubaan dan pekerja-pekerja yang menerima pembayaran sama ada gaji atau komisen ataupun elaun kerja.

Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, kegagalan membayar caruman pada masa yang ditetapkan merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 atau 2382929 semasa waktu bekerja ataupun melalui aplikasi WhatsApp di talian 8998290.

Bagi ahli yang telah berdaftar ke e-Amanah, aduan atau sebarang pertanyaan bolehlah dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

Pegawai penguat kuasa ketika melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis di Kuala Belait. – Gambar serahan TAP