Lebih 1,800 karton rokok dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebanyak 1,840 karton rokok pelbagai jenama telah berjaya dirampas hasil penahanan seorang lelaki tempatan dalam rondaan rutin yang dikendalikan oleh Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kelmarin.

Hasil maklumat orang awam mengenai dua buah bot mencurigakan telah dilihat menghala ke Sungai Menunggol, pihak PPDB telah menjalankan operasi, di mana semasa pihak polis mendekati kawasan sungai berkenaan, suspek tersebut telah menyedari kehadiran polis dan terus mengubah haluan dengan tujuan untuk melarikan diri. Selepas siasatan dan pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek, pihak polis telah menemui kotak-kotak yang berisi rokok yang cuba disembunyikan dengan bot suspek.

Suspek serta barang-barang tegahan segera dibawa ke IbuPejabat Polis Marin untuk dijalankan siasatan awal dan seterusnya kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, PPDB akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauandalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.

Perahu di mana barangan tegahan disembunyikan.
Rokok yang dirampas hasil penahanan seorang lelaki tempatan.