Lebih 190kg bahan kitar semula dikumpul

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 24 OGOS – Dalam membantu meneruskan usaha mengitar semula yang dilaksanakan oleh negara, Green Depot telah mengadakan kempen kitar semula di sekitar kawasan premis Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, kelmarin.

Kempen kitar semula ini merupakan aktiviti kelima yang dianjurkan oleh Green Depot. Ia berjaya mengumpul sejumlah 193.4kg bahan boleh dikitar semula, terdiri daripada kertas, plastik, aluminium serta besi. Beberapa bahan elektronik atau e-waste juga dikumpul daripada orang ramai.

Selain mengumpul bahan-bahan yang boleh dikitar semula, kempen juga merupakan satu peluang untuk anggota kakitangan Green Depot menyebarkan maklumat berhubung proses kitar semula serta membezakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula.

Salah satu projek di bawah Green Brunei dengan sokongan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) untuk memupuk tabiat kitar semula sementara mengurangkan jumlah bahan buangan di tempat pembuangan sampah, Green Depot telah menganjurkan kempen kitar semula untuk membantu menyediakan akses yang mudah kepada kitaran semula bahan-bahan buangan untuk penduduk di kampung, dengan bahan-bahan yang dikitar semula boleh ditukar dengan wang tunai sebagai sebahagian daripada faedah projek.

Sejak ditubuhkan pada 2018, kempen Green Depot berjaya mengumpul lebih daripada 36,000kg daripada 800 pengguna dalam tempoh dua tahun lalu. Kumpulan itu juga berhasrat mengadakan aktiviti yang sama pada masa akan datang, dengan kempen seterusnya dijangka diadakan pada September.

Penduduk yang berminat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kempen kitar semula akan datang serta acara lain yang dianjurkan oleh Green Depot boleh menghubungi mereka di talian 8729756 atau menerusi media sosial mereka.

Ahli-ahli Green Depot menimbang bahan kitar semula yang dikumpul semasa kempen.