Lebih 2.78 juta kematian setahun

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Dalam statistik Kementerian Kesihatan sepanjang tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 219 kes kemalangan yang dicatatkan adalah kehilangan pendengaran, tiga kes disebabkan penyakit kulit sementara penyakit berkaitan asma dan penyakit paru-paru masing-masing mencatat satu kes.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria berkata demikian ketika berucap pada Forum Kesihatan Pekerjaan Dalam Industri Pembinaan 2018, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat JKR itu merupakan sebahagian daripada siri kesedaran kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE) yang dianjurkan setiap tahun oleh JKR untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pengetahuan kepada semua pihak berkepentingan dalam kesihatan pekerjaan dalam industri pembinaan.

Haji Amer Hishamuddin dalam ucapannya juga turut menyentuh laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bahawa kemalangan di tempat kerja berlaku setiap hari mengakibatkan kematian atau penyakit berkaitan dengan pekerjaan.

“Seperti yang dilaporkan, lebih 2.78 juta kematian dicatatkan setiap tahun dan daripada jumlah tersebut, 80 peratus kematian akibat penyakit berkaitan pekerjaan dan selebihnya akibat kecederaan di tempat kerja,” jelasnya.

Haji Amer Hishamuddin serta tetamu khas yang lain semasa menghadiri ceramah khas daripada Pengiran Dr Mohammad Khalifah.
Pengiran Dr Mohammad Khalifah semasa menyampaikan ceramah khas.
Antara yang hadir pada forum berkenaan.

Beliau seterusnya menambah, sebanyak 374 juta kecederaan dan penyakit berkaitan kerja dicatatkan setiap tahun hingga kebanyakannya menyebabkan ketidakhadiran kerja secara berlanjutan.

Menurutnya lagi, kecederaan pekerjaan mudah dilihat dan jumlahnya boleh dikira, di mana penyakit berkaitan pekerjaan jika lewat mendapatkan rawatan dan lewat dikesan boleh menjadi bahaya dan jumlahnya juga sangat sedikit dilaporkan.

“Industri pembinaan merupakan salah sebuah industri berbahaya dari segi keselamatan tapi kita juga perlu menyedari, pembinaan juga berisiko tinggi dari segi kesihatan pekerjaan,” tambahnya.

Pekerjaan pembinaan berisiko dalam menghasilkan gangguan ‘muskuloskeletal’, kehilangan pendengaran, penyakit getaran lengan tangan, penyakit kulit dan pelbagai penyakit pernafasan.

Forum tersebut diserikan dengan ceramah khas disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan, Pengiran Dr Mohammad Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Pada majlis itu juga, Haji Amer Hishamuddin serta tetamu khas yang lain menyaksikan mini pameran dari Bahagian Pengurusan Lembaga Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan serta syarikat dari dalam dan luar negara di ruang lobi Ibu Pejabat JKR, Berakas.