Lebih 20 korban keganasan puak

CANBERRA, AUSTRALIA, 10 JULAI – Lebih 20 orang termasuk wanita mengandung dan kanak-kanak telah terbunuh dalam keganasan puak terbaharu di Papua New Guinea, lapor media hari ini.

Gabenor wilayah terpencil Hela memberitahu Australian Broadcasting Corp keganasan terbaharu berlaku pada Isnin apabila 16 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh di kampung Karida. Pembunuhan mungkin tindakan balas atas serangan sebelumnya yang mengorbankan tujuh orang, kata Gabenor Philip Undialu.

“Ia telah bertukar menjadi pembunuhan wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah,” kata Undialu.

Akhbar The Post-Courier, berpangkalan di ibu negeri pulau Pasifik Selatan Port Moresby, melaporkan 24 orang terbunuh di kampung Karida dan Peta sejak Sabtu.

Enam orang diserang hendap dan dibunuh berhampiran Peta pada Sabtu, beritahu Ketua Inspektor Polis Hela Teddy Augwi kepada akhbar.

Saudara mangsa bertindak balas dengan tembakan senapang pada keesokan harinya, membunuh di antara 16 dan 18 orang di Karida, termasuk wanita hamil, kata beliau.

“Ini bukan pertempuran puak di mana penduduk kampung berdepan di antara satu sama lain,” beritahu Augwi kepada akhbar. “Ini adalah pertempuran dalam perang gerila, bermakna mereka main sorok-sorok dan menyerang hendap musuh mereka.” – AFP

Gambar fail bertarikh 15 November 2018 menunjukkan seorang budak perempuan berlari ke rumah mereka di Port Moresby, Papua New Guinea. Lebih 20 orang telah terbunuh dalam keganasan puak di Papua New Guinea, lapor media kelmarin. – AP