Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Dalam meneruskan sokongan terhadap agenda ekonomi negara untuk membangunkan ekonomi yang mampan melalui pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Bank Baiduri dengan kerjasama Akademi Perniagaan Industri (IBA), Darussalam Enterprise (DARe) telah mengadakan bengkel untuk Siri Pemerkasaan PKS Baiduri di iCentre, Anggerek Desa, hari ini.
Bengkel bertajuk ‘Membangunkan Strategi Pemasaran Digital untuk PMKS’ itu telah dikendalikan oleh Click Academy Asia, sebuah agensi latihan yang ditubuhkan dari Singapura yang mengkhusus dalam pemasaran digital. Kursus telah dihadiri oleh lebih 20 pengusaha tempatan dan disesuaikan khas bagi membantu PMKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dan menukar lebih ramai pelanggan menggunakan alat pemasaran digital seperti enjin carian, laman rangkaian sosial, aplikasi perbualan, dan pemasaran e-mel dan sebagainya. Bengkel juga menyediakan alat yang mudah digunakan oleh PMKS dalam perniagaan mereka.
Kerjasama antara Bank Baiduri dan DARe adalah inisiatif tahunan yang bertujuan untuk melaksanakan satu siri bengkel latihan kemahiran beberapa kali setahun yang direka untuk melengkapkan program latihan sedia ada yang ditawarkan oleh IBA. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menjelaskan bahawa melalui Siri Pemerkasaan PKS, mereka berharap dapat terus menyokong pertumbuhan dan pembangunan PMKS dengan memperkasakan mereka melalui pendidikan.
“Bengkel ini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang utama bagi mengurus dan menetapkan perniagaan mereka untuk pertumbuhan yang mampan.
“Diharapkan pengetahuan yang diperoleh akan mendorong mereka untuk menjadi lebih tangkas dalam ekonomi yang berubah pantas hari ini dan membantu mereka membuat keputusan perniagaan yang betul,” tambahnya.