Lebih 20 saksikan fenomena astronomi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2006 – Lebih daripada 20 orang penggemar astronomi yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kejadian gerhana separa bulan berkumpul di Taman Sir Muda Omar Ali Saifuddien pada awal pagi untuk melihat sendiri fenomena astronomi itu.

Turut berada di taman itu untuk merakamkan dan memberikan penerangan mengenai peristiwa itu kepada orang ramai ialah lebih daripada 20 orang pegawai dan kakitangan dari Unit Astronomi, Jabatan Ukur serta ahli Kelab Astronomi Brunei Darussalam.

Penerangan mengenai fenomena astronomi itu disampaikan oleh Ketua Unit Astronomi, Jabatan Ukur, Haji Julaihi Haji Lamat.

Gerhana separa bulan itu berlaku apabila bulan melalui sebahagian kecil kawasan bayang-bayang yang gelap, umbra di mana ketika itu bulan akan kelihatan sompek.

Di dalam kejadian gerhana itu, tidak keseluruhan permukaan bulan akan kelihatan gelap kerana hanya kurang dari 20 peratus permukaan bulan itu terjejas ketika puncak gerhana berkenaan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berpeluang untuk melihat dengan jelas fenomena gerhana berkenaan berlaku secara berperingkat melalui skrin yang disediakan oleh Unit Astronomi bertujuan untuk memudahkan serta membolehkan semua para hadirin menikmati kejadian alam itu bersama tanpa menggunakan peralatan yang canggih.