Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 16 April – Bagi memupuk budaya bersukan secara sihat, lebih 20 orang ahli Kumpulan Santai-santai Riders (SSR) dan Kumpulan BEST telah menyertai aktiviti riadah berbasikal Fun Ride Persatuan Keluarga Polis Ibu Pejabat Polis (PERKEP IPD) 2019 yang diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Kayuhan sejauh 30 kilometer itu dianjurkan oleh PERKEP IPD, Daerah Wilayah Persekutuan Labuan bermula di perkarangan ibu pejabat polis berkenaan.
Menurut salah seorang peserta Negara Brunei Darussalam, Awang Idris bin Haji Ali Bahar menjelaskan, kegiatan tersebut merupakan penyertaan kali pertama kumpulan berkenaan di Labuan yang memberi banyak pengalaman yang berharga dalam aktiviti berbasikal.
Tambahnya, dengan adanya acara seumpama itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para penggemar aktiviti berbasikal bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di luar negara.
Acara riadah berbasikal itu telah berjaya menarik lebih 460 orang peserta yang datang dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta peserta dari Brunei, aktiviti berbasikal itu turut disertai oleh SUPT Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan selaku tetamu kehormat majlis.