Lebih 20 syarikat tempatan akan dipanggil labur di Sabah

TAWAU, 10 Feb – Lebih 20 syarikat tempatan Sabah yang berdaftar di Bursa Malaysia akan dipanggil membincangkan pelaburan bagi pembangunan negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, langkah itu bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah selain memastikan syarikat terbabit turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya akan panggil satu-satu (syarikat terbabit) bagi memastikan mereka ini dapat melabur di peringkat negeri…jangan hanya daftar di peringkat negeri sahaja tetapi tidak memberi (sumbangan) pulangan kepada penduduk.

“Saya yakin (ini dapat dilaksanakan) dan sudah mulakannya dengan tauke Hap Seng (Pengerusi Hap Seng Consolidated, Tan Sri CK Lau) dan saya minta beliau supaya melabur di sini. Beliau beritahu akan melabur RM1 bilion di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di di sini, hari ini.

Rumah terbuka anjuran Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong itu turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong selain lebih 1,000 penduduk. – Bernama