Lebih 200 ekor kucing, anjing diselamatkan

LONDON, 25 OGOS – Pemilik sebuah pusat pelindungan haiwan di Afghanistan akan dibenarkan memindahkan sekitar 200 ekor kucing dan anjing dengan pesawat sewa dari Kabul, kata menteri pertahanan Britain hari ini.

Pemilik warga Britain itu merupakan bekas tentera marin, Paul ‘Pen’ Farthing berusaha memindahkan kesemua haiwan tersebut telah menimbulkan kontroversi ketika ribuan penduduk berusaha melarikan diri daripada Taliban menjelang tarikh akhir pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat pada 31 Ogos ini.

Setelah berkhidmat di Afghanistan bersama tentera Britain, Farthing mendirikan badan amal haiwan bernama Nowzad di Kabul menyelamatkan kucing, anjing dan keldai.

Dia terus kekal berada di Kabul dan telah mengumpulkan dana awam untuk pesawat menerbangkan kakitangannya dan keluarga mereka serta sekitar 200 ekor kucing dan anjing dalam apa yang disebutnya ‘Operasi Ark’.

Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace sebelumnya mengatakan bahawa adalah salah untuk ‘mengutamakan binatang peliharaan daripada manusia’ kerana ribuan orang menunggu di luar lapangan terbang, ramai yang takut diserang oleh Taliban yang kembali berkuasa pada 15 Ogos lalu.

Namun hari ini, Wallace menulis di Twitter bahawa dia telah membenarkan pegawai untuk memproses kakitangan Farthing di Afghanistan di lapangan terbang Kabul.

Setelah itu berlaku, “jika dia (Farthing) tiba dengan haiwannya, kita akan mencari tempat kosong untuk pesawatnya,” kata Wallace.

Wallace menambah bahawa Farthing dan kakitangannya di Afghanistan, yang telah diberikan visa United Kingdom, juga dapat pergi tanpa haiwan menaiki penerbangan Tentera Udara Diraja. – AFP

Sekitar 200 ekor kucing dan anjing di sebuah tempat perlindungan haiwan di Afghanistan akan dipindahkan. – AP