Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 hadiri Hari Terbuka C3L, festival

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Lebih 200 peserta dan pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada kejayaan dalam pembelajaran dan kemajuan, telah menghadiri Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024 hari ini yang diadakan di Bangunan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Perlancaran hari terbuka dan festival anjuran UBD itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam ucapan perasmian beliau antara lain telah mengongsikan pandangan mengenai penyelarasan strategik inisiatif-inisiatif dengan matlamat kebangsaan dan global.

    Katanya, “Komitmen kami terhadap pembelajaran sepanjang hayat adalah terjalin dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk memupuk rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, dan berjaya serta sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari 4, di mana ia menyokong pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.”

    Selain menjelaskan festival tersebut bukan sekadar sambutan tetapi ia lebih daripada itu, di mana ia menunjukkan bagaimana pembelajaran sepanjang hayat dapat mengubah hidup, mempromosikan kelestarian, memupuk keterangkuman, dan meningkatkan kualiti hidup baik di Brunei mahupun di seluruh dunia.

    Dr Hazri semasa melancaran Hari Terbuka C3L dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dr Hazri mengadakan lawatan ke petak pameran semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Katanya lagi,“Pembelajaran sepanjang hayat sangat penting hari ini kerana teknologi berubah dengan sangat cepat sehingga kemahiran boleh menjadi usang dengan cepat.

    “Memperoleh ilmu baharu membantu individu maju dalam kerjaya mereka dan menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu, dan ianya juga menjadikan kehidupan lebih menyeronokkan dan dapat meningkatkan kesihatan mental,” jelasnya lagi.

    Tambahnya, “Dengan pembelajaran dalam talian yang semakin mudah diakses, lebih mudah daripada sebelum ini untuk terus belajar mengikut kadar sendiri, selain itu, banyak organisasi kini menyokong pertumbuhan pekerja dengan menawarkan latihan, yang membantu memastikan pekerja berasa puas dan terlibat.”

    Beliau juga menjelaskan, kombinasi pembelajaran sepanjang hayat dan platform digital sedang mengubah pendidikan UBD menjadi pengalaman yang dinamik, diperi-badikan, dan inklusif, menjadikannya lebih menarik dan relevan daripada sebelumnya.

    Dalam ucapan beliau turut mengongsikan kegembiraan akan menyambut bakal pemegang kepentingan dan rakan kongsi untuk bekerjasama dengan UBD dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat ini.

    Acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD; Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD; Institut Kajian Dasar (IPS), UBD; dan ILIA, UBD, merupakan kemajuan yang signifikan dalam komitmen UBD untuk menggunakan pendidikan sebagai pemangkin bagi kemajuan sosial, selaras dengan Visi Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari.

    Festival tahun ini bertemakan Pathways to Progress : Lifelong Learning and the Sustainable Development Goals itu telah mempamerkan impak transformatif pembelajaran sepanjang hayat, serta mempromosikan kelestarian dan inklusiviti di peringkat global.

    Acara tersebut turut dimeriahkan dengan menampilkan barisan penceramah antarabangsa dari institusi terkemuka, termasuk UNITEN Malaysia, Kagawa University di Jepun, Mahidol University, dan Burapha University di Thailand.

    C3L menekankan penawaran pendidikan UBD telah diperluas, termasuk micro-credential dan program micro-master baharu yang mana ianya direka untuk memenuhi keperluan masyarakat dan tenaga kerja yang dinamik.

    Selain itu, acara tersebut turut menandakan satu pencapaian dalam transformasi digital UBD dengan pelancaran laman web C3L yang baharu dan platform Pembelajaran Terbuka.

    Platform tersebut direka dengan teliti untuk memperluaskan program pembelajaran sepanjang hayat dan micro-credential UBD kepada penonton di Brunei dan antarabangsa, di samping memperkuatkan peranan universiti dalam landskap pendidikan global.

    Sementara agenda festival mengandungi perkhidmatan pendidikan yang dinamik, pameran teknologi, dan demonstrasi yang menyokong pembangunan lestari.

    Selain ceramah mengenai mikrokelayakan dan pembelajaran sepanjang hayat, bengkel bertajuk Bekerjasama untuk Perubahan – Projek Lestari dalam Tindakan, mesyuarat perniagaan, pameran, perbincangan, ceramah awam, dan majlis anugerah untuk mikrokelayakan terbaik – kesemuanya direka untuk memberi inspirasi dan mempromosikan inovasi pendidikan serta tanggungjawab sosial.

    Pada acara tersebut, tetamu kehormat dan tetamu khas lainnya turut mengadakan lawatan ke pameran sempena kedua-dua acara itu yang diadakan di ruang lain bangunan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda