Lebih 200 menderma darah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Kempen menderma darah anjuran Mobile World Enterprise dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila seramai 205 telah mendermakan darah, hari ini.

Kempen yang diadakan di Bilik Pameran Mobile World, Gadong bermula 10 pagi hingga 3 petang itu turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti jualan, cabutan bertuah, dan tawaran promosi produk Mobile World.

Daripada jumlah orang yang menderma darah, Awang Langan bin Indab terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah sempena kempen berkenaan dan membawa pulang iPhone XS Max 256GB.

Hadir menyampaikan hadiah ialah Pengurus Perhubungan Awam, Mobile World Enterprise, Dayang Norbayu.

Turut memeriahkan acara ialah Kingston Beverages & Creamery Sdn Bhd yang mengagihkan minuman dan makanan percuma seperti air, biskut dan aiskrim.

Menurut Mobile World, mereka tidak menyangka dengan sambutan orang ramai yang datang dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Kempen yang membawa tema Make a huge Different for Someone in Need itu bertujuan untuk sama-sama membantu Pusat Pendermaan Darah bagi menambah stok darah untuk mereka yang nemerlukan.

Awang Langan menjadi penderma darah bertuah yang membawa pulang iPhone XS Max 256GB.
Orang ramai berbaris untuk menderma darah pada kempen yang diadakan di Bilik Pameran Mobile World, kelmarin.