Lebih 200 sertai Kem Belia Muslim

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Buat pertama kalinya, kumpulan belia masjid negara telah mengadakan Kem Belia Muslim dengan tema Digital Intelectual Youth (D.I.Y) yang berlangsung secara maya selama dua hari bermula kelmarin.

Majlis pelancaran program bersempena Festival Disember Brunei 2021 dan Hari Bertindak itu telah diadakan hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal
Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Lebih kurang 200 orang daripada kalangan belia dan beliawanis dari seluruh negara menyertai program tersebut yang diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya ceramah, forum, aktiviti yang bersesuaian dan sebagainya.

Program tersebut dianjurkan bersama oleh kumpulan-kumpulan belia masjid yang terdiri daripada Kumpulan Belia Masjid Ashabul Haliim, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku Katok; Kumpulan Belia Masjid AshShaliheen, Masjid Ash-Shaliheen; Kumpulan Belia Masjid Ashabul Akhyar Masjid Kampung Lumapas; Kumpulan Belia Syababurroja Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah; Kumpulan Belia Ibadurrahman, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Kumpulan Belia Mas-jid RPN Kampung Pandan, Daerah Belait dan Kumpulan Syababul Iman, Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong sebagai pengelola utama program.

Ia juga disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Program itu antara lain juga bertujuan untuk melahirkan belia proaktif yang mengisi
masa cuti persekolahan dan masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat sekali gus memaksimumkan fungsi belia masjid sebagai badan sukarelawan yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Antara objektifnya pula adalah untuk membina dan mempertingkatkan lagi sifat kepimpinan dan tahap keperibadian para belia, dari segi rohani dan jasmani di samping itu untuk membekalkan para belia dengan ilmu dan kefahaman berkaitan penjagaan mental sebagai cabaran di era pandemik.

Acara itu juga bertujuan untuk membentuk para peserta untuk lebih bersemangat ke arah sukarelawan dan memimpin diri serta orang lain selain dihasratkan untuk membentuk jati diri para belia dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) agar berdaya tahan dan mempunyai akhlak yang mantap seterusnya mengeratkan lagi silaturahim di antara para belia yang mempunyai impian, misi dan visi yang sama.

Antara peserta Kem Belia Muslim dengan tema Digital Intelectual Youth (D.I.Y) yang berlangsung secara maya selama dua hari.