Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Bersempena dengan menyambut kedatangan Awal Tahun Hijrah 1439, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar melalui Bahagian Riadah dan Hari Kebesaran Islam pagi tadi telah mengadakan Acara Walkaton Hijrah.
Walkaton yang bermula dan berakhir di masjid berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku penaung Takmir MRSB.
Acara dimulakan dengan solat subuh berjemaah diteruskan dengan ceramah khas bertajuk ‘Hijrah Dalam Kehidupan Harian’ yang telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan UNISSA, Dr. Ahmad Baha bin Moktar.
Sebelum walkaton dimulakan, acara diteruskan dengan menaikkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai serta senamrobik.


Acara berkenaan bertujuan untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei sebagai sebuah Negara Zikir. Selain itu juga untuk mengamalkan hidup yang sihat dan mengeratkan silaturahim serta menyokong Visi MRSB iaitu untuk menjadikan MRSB sebagai pusat ibadah dan perkembangan ilmu bagi membentuk masyarakat yang bertakwa (berilmu, beriman dan beramal soleh) ke arah mencapai hasrat negara zikir.
Lebih kurang 200 orang menyertai acara tersebut yang terdiri daripada jemaah MRSB, penduduk Kampung Sungai Akar dan peserta khatam 50 kali Kampung Sungai Akar sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.