Lebih 200 syarikat mohon 25% subsidi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Setakat ini sebanyak 139 buah syarikat telah mendaftar bagi penangguhan pembayaran TAP dan SCP selama enam bulan yang melibatkan seramai 1,428 pekerja.

Manakala sebanyak 211 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menggaji 100 pekerja ke bawah pula memohon 25 peratus subsidi yang melibatkan 2,203 pekerja.

Statistik tersebut telah dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengenai penangguhan pembayaran TAP dan SCP serta 25 peratus subsidi semasa soal jawab di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Semasa sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew juga mengongsikan bahawa setakat petang ini jumlah wang yang telah dikutip di bawah COVID-10 Relief Fund adalah sebanyak $9,824,842.80.

“Dengan jumlah yang mencecah lebih $9.8 juta itu, pilihan yang kami ada adalah begitu berbeza daripada sebelum ini. Kita mungkin boleh menggunakan wang tersebut untuk membiayai perbelanjaan tertentu bukan seperti yang sebelum ini,” jelasnya.

Beliau mencontohkan dana tersebut boleh membiayai bahagian hospital Tutong yang baru siap dibina.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk terus menyumbang kepada dana ini dan berharap apabila kita dapat mencapai jumlah yang lebih tinggi, pilihan kita akan jauh lebih
luas dari segi bagaimana kita dapat membiayai pelbagai perbelanjaan terhadap hospital berkenaan,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.