Lebih 2,000 daftar domestic runners

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Lebih 2,000 pendaftaran telah dicatatkan dalam senarai domestic runners di negara ini setakat hari ini sejak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengumumkan mengenai Pendaftaran untuk Domestic Runners semasa sidang media pada 2 Oktober lalu.

Pemilihan penggunaan perkhidmatan runner dilihat tepat dan mudah dalam melancarkan lagi proses penghantaran makanan atau barangan secara terus kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian.

Peningkatan perkhidmatan berkenaan bagi menampung keperluan orang ramai dapat dikesan di negara ini lebih-lebih lagi setelah tercetusnya gelombang kedua penularan wabak COVID-19 pada awal Ogos lalu.

Sehubungan itu, sebagai langkah bagi menjaga kepentingan, keberadaan serta kesejahteraan pihak sektor perniagaan, pihak domestic runners dan khususnya orang ramai semasa negara menghadapi situasi penularan wabak COVID-19, domestic runners disarankan dan diperlukan untuk membuat pendaftaran melalui laman web Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Salah seorang domestic runner, Dayang Nurul Hafizah Aqidah binti Kamaluddin turut mengongsikan pandangannya mengenai pendaftaran bagi runner dalam talian kepada wakil Media Permata.

Menurutnya, proses pendaftaran secara dalam talian tersebut mengambil masa yang cukup singkat.

“Kemudahan pendaftaran secara dalam talian tersebut juga amat ringkas dan tidak mengelirukan,” tambahnya.

Di samping itu beliau turut menyambut baik inisiatif tersebut dalam memastikan kesejahteraan para domestic runner dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka terjamin daripada jangkitan COVID-19.

Dengan cara itu, ujarnya, pengesanan kontak akan lebih mudah dilakukan jika terjadinya sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelanggan mahupun diri mereka sendiri selaku domestic runner yang berhadapan dengan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan pengawalan penularan pandemik COVID-19.

Bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan, para domestic runner juga diperlukan untuk membuat ujian swab COVID-19 di pusat swab pandu lalu Bridex sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan ujian mereka negatif daripada jangkitan COVID-19.

Domestic runners juga dikehendaki untuk mengemaskini tarikh terakhir membuat ujian swab setelah mereka mendapat keputusan ujian swab mereka.