Lebih 2,000 gagal hadiri suntikan vaksinasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Seramai 2,790 orang yang telah diganjakkan slot tempahan mereka di antara 19 sehingga 25 September 2021 telah gagal menghadirkan diri ke Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan sekali lagi untuk memeriksa perjanjian vaksinasi melalui aplikasi BruHealth atau pesanan ringkas SMS dari semasa ke semasa bagi memastikan tarikh perjanjian dan tempat vaksinasi mereka selepas proses mengganjakkan slot dilakukan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengingatkan orang ramai mengenai perkara itu pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, proses menganjakkan tempahan slot suntikan bagi mereka yang terjejas akibat penangguhan pemberian vaksin dos pertama COVID-19 pada awal September lalu telah selesai dilaksanakan.

“Beberapa perubahan juga terpaksa dilaksanakan ke atas perjanjian vaksinasi seperti memindahkan lokasi vaksinasi ke pusat vaksinasi yang lain. Manakala mereka yang tidak dapat hadir pada tarikh tempahan kerana menjalani kuarantin atau telah membuat tempahan lain, dinasihatkan untuk membatalkan tempahan yang diberikan bagi memberi peluang kepada orang lain yang boleh memanfaatkan slot-slot berkenaan,” katanya.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengemaskinikan maklumat peribadi termasuk nombor telefon di dalam sistem BruHIMS bagi memastikan mesej mengenai tempahan slot dapat diterima,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.