Lebih 2,000 karton rokok, barangan lain dirampas

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JKED

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguat kuasa Undang-undang telah berjaya merampas lebih 2,000 karton dan paket rokok, pelbagai lagi barangan tegahan kastam serta menahan mereka yang menyeludupnya dalam gerakan operasi yang dilaksanakan dalam masa tiga hari dan tempat berasingan di negara ini.

Operasi dijalankan pada 14, 15 dan 20 November lalu merupakan hasil maklumat diterima daripada orang awam berkaitan penyeludupan barang tegahan kastam.

Menurut kenyataan dikeluarkan JKED di sini hari ini, pada 20 November, tiga operasi dijalankan, antaranya di sebuah rumah di RPN Kampung Bukit Beruang telah berjaya menahan seorang lelaki asing berusia 38 tahun yang memiliki sembilan karton dan 19 paket rokok pelbagai jenis.

Manakala pemeriksaan di sebuah rumah pekerja di Kampung Menglait Gadong telah menahan lima orang lelaki asing berusia 22 hingga 46 tahun yang memiliki 94 karton dan 22 paket rokok, 51 batang rokok pelbagai jenis dan wang tunai berjumlah $1,663 hasil jualannya.

Walau bagaimanapun, rampasan terbesar pada operasi itu ialah 1,800 karton rokok dan perahu berukuran 23 kaki bersama enjin 150 kuasa kuda yang dikemudi seorang lelaki Malaysia di perairan Sungai Brunei. Lelaki tersebut turut ditahan.

Sejumlah 1,800 karton rokok yang dirampas di perairan Sungai Brunei oleh JKED.
Antara pelbagai barangan rampasan dalam operasi ketiga.

Pada operasi 15 November pula, penguat kuasa JKED berjaya menahan dua orang lelaki dan dua orang perempuan berusia antara 32 hingga 41 tahun yang memiliki enam karton dan 10 paket rokok pelbagai jenis, satu botol minuman keras, 889 pelbagai jenis mod dan pod vape, 236 botol perisa vape serta 259 barangan aksesori vape, pelbagai barangan kosmetik dan produk-produk kecantikan, kesihatan dan makanan yang dipercayai diseludup masuk.

Dalam pada itu, hasil maklumat di kawasan letak kereta Bangunan Low San, Jalan Kota Batu pada 14 November telah berjaya menahan dua orang lelaki tempatan berusia 27 dan 32 tahun yang memiliki 18 katon, 12 paket dan 21 batang rokok pelbagai jenis. Salah seorang tahanan merupakan pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah syarikat pengawal keselamatan.

Pada hari yang sama, operasi di Bangunan Kompleks Al Barakah, dua orang lelaki tempatan berusia 23 dan 29 tahun turut ditahan kerana dipercayai memiliki 111 karton, tujuh paket, 17 batang rokok pelbagai jenis dan sebotol minuman keras serta sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah $1,385 yang dipercayai hasil daripada jualan barang-barang tegahan.

Kesemua barangan tegahan dalam operasi tiga hari itu dirampas manakala individu terlibat dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang JKED untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, JKED menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang negara yang berkuat kuasa dan menghindari kegiatan penyeludupan masuk dan keluar barang-barang tegahan dan larangan tanpa kebenaran agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut.