Lebih 2,000 karton rokok lagi dikesan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sebanyak 2,280 karton rokok pelbagai jenama, 12 botol minuman keras serta satu peket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu ditemukan semasa rondaan rutin dalam Operasi Pulih yang dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Insiden penemuan merupakan hasil maklumat yang dikongsikan kepada pihak polis terhadap dua buah kenderaan yang mencurigakan di kawasan letak kereta Kampung Tarap Bau, Mukim Lumapas kelmarin, sekitar 9:30 malam. Sejurus membuat pemeriksaan dan pengesahan awal, pihak polis telah mendapati sejumlah kotak-kotak mencurigakan kelihatan dari cermin tingkap kenderaan berkenaan.

Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi mengaktifkan tindakan Operasi Sepadu pada malam tersebut.

Kesemua barang tegahan dirampas dan diserahkan kepada JKED bagi siasatan dan tindakan berikutnya.

Manakala itu, penemuan peket berisi ketulan batu kristal dipercayai dadah diserahkan kepada Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.

PPDB serta agensi penguatkuasaan yang lain juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Barang tegahan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja selepas ditemui dalam dua buah kenderaan di tempat letak kereta Kampung Tarap Bau. – Gambar serahan PPDB