VIENTIANE, 16 MEI – Lebih 2,000 penduduk Laos dan warga asing telah memasuki Laos menerusi sempadan darat dan lapangan terbang di Bandar Laos, Vientiane sejak kerajaan itu membuka semula sempadan negara pada 9 Mei di tengah-tengah pande-mik COVID.
Menurut akhbar harian Vientiane Times hari ini, jumlah itu dilaporkan ketika Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Kebangsaan Pencegahan dan Kawalan COVID, Kikeo Khaykhamphithoune, mengunjungi Jambatan Persahabatan Pertama Laos-Thai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay di Vientiane pada Jumaat lalu.
Jambatan itu dibuka pada 9 Mei susulan makluman dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang menekankan bahawa semua sempadan boleh dibuka semula, dengan sekatan perjalanan dibatalkan manakala warga asing dibenarkan untuk masuk dan keluar dari Laos secara bebas.
Ketua Pusat Pemeriksaan Jambatan Persahabatan Antarabangsa Pertama Laos-Thai, Khamphome Thepphavong berkata sejak Laos dibuka semula, lebih 1,600 orang telah memasuki negara itu manakala lebih 2,100 orang menyeberangi jambatan ke Thailand.
Sementara itu, lebih 690 orang telah memasuki Laos menerusi lapangan terbang di Vientiane sejak 9 Mei dan 860 orang meninggalkan Laos, kata pengurus di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay.
Kikeo juga menekankan keperluan orang ramai untuk terus mematuhi langkah-langkah mencegah penularan COVID mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan. – Xinhua