Lebih 2,000 sampel saringan tambahan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Sebanyak 521 sampel telah disaring daripada pekerja warga asing di negara ini, 616 sampel daripada saringan komuniti dan sebanyak 998 sampel saringan tambahan daripada petugas-petugas barisan hadapan, petugas-petugas di pusat penjagaan kanak-kanak, prasekolah dan pusat penjagaan warga emas.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik pemantauan surveilans yang telah dijalankan pada minggu kelima de-escalation iaitu daripada 8 hingga 14 Jun lepas pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini. Jelasnya, sejak 1 hingga 14 Jun lalu, sebanyak 2,168 sampel telah diambil bagi saringan tambahan, di mana kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kakitangan pusat-pusat penjagaan kanak.

“Kesemua keputusan ujian saringan yang telah dijalankan dari minggu pertama hingga minggu kelima adalah negatif setakat ini,” kata Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga memaklumkan bahawa bermula hari ini hingga, 20 Jun nanti, satu kajian serologi akan diadakan di masjid-masjid yang terpilih.

“Kajian ini adalah lanjutan daripada kajian yang diadakan sebelum ini di pusat-pusat kesihatan yang mana tujuannya adalah untuk memperluaskan surveilans di peringkat komuniti di samping membantu kementerian ini menganggarkan kadar kekebalan penduduk bagi sesuatu jangkitan,” katanya.

Seorang anggota perubatan ketika mengambil sampel ujian daripada seorang pesakit di Tegucigalpa. Sejak 1 hingga 14 Jun lalu, sebanyak 2,168 sampel telah diambil bagi saringan tambahan di Negara Brunei Darussalam, di mana kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak.- AFP