Lebih 2,000 warga Afghanistan dibawa ke UK

LONDON, 18 OGOS – Britain membantu lebih daripada 2,000 warga Afghanistan untuk melarikan diri dari negara mereka dalam beberapa hari kebelakangan, Perdana Menteri Boris Johnson mengatakan hari ini, ketika dia mengingatkan Taliban harus dinilai ‘atas tindakan, bukan hanya kata-kata’.

Ketika berucap kepada anggota parlimen yang dipanggil kembali dengan segera daripada cuti musim panas mereka untuk perbahasan darurat, Johnson juga mempertahankan tindakan kerajaan menangani krisis itu, sambil menegaskan Britain bersedia untuk menghadapi segala senario.

Dia mengatakan bahawa Britain setakat ini telah membawa pulang 306 warga Britain dan 2,052 warga Afghanistan menerusi program penempatan semula, sementara 2,000 lebih lagi permohonan Afghanistan sudah lengkap dan ‘banyak lagi’ sedang diproses.

“Pegawai UK berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pintu keluar terus terbuka dalam keadaan sukar ketika ini dan semakin giat mencari mereka yang kami percaya layak tetapi belum didaftarkan,” kata Johnson kepada Dewan Rakyat.

Britain mengumumkan semalam satu skim penempatan semula bagi warga Afghanistan yang melarikan diri daripada cengkaman Taliban setelah mereka kembali berkuasa, menawarkan 5,000 tempat awal pada tahun pertama, meningkat hingga 20,000 dalam jangka panjang.

Kerajaan mengatakan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang paling berisiko, termasuk wanita Afghanistan, anak-anak dan orang lain yang dipaksa melarikan diri atau menghadapi ancaman dan penganiayaan, yang memberi mereka peluang untuk tinggal di Britain selama-lamanya.

Skim itu berdasarkan model yang menempatkan 20,000 pelarian dari konflik Syria dari tahun 2014 hingga tahun ini.

Kira-kira 900 tentera Britain telah dihantar kembali ke Kabul dengan segera untuk membantu usaha membawa mereka pulang. – AFP

Penumpang dari Afghanistan, turun dari pesawat RAF Airbus KC2 Voyager, setelah mendarat di RAF Brize Norton, selatan England, semalam. – AFP