Lebih 20,000 mohon SKN sejak tahun lalu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebanyak 6,441 pendaftaran dan 4,893 permohonan bantuan Sistem Kebajikan Negara (SKN) telah diterima yang mana puratanya 48 permohonan sehari semasa gelombang kedua pandemik COVID-19 melanda negara sejak bulan Ogos lepas.

“Tetapi permohonan yang diterima ini, sebilangannya adalah permohonan yang berulang-ulang namun dapat dilihat trend pada bulan Ogos itu meningkat,” jelas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menjawab persoalan pada sidang media mengenai berapa banyak permohonan SKN telah diterima oleh KKBS berhubung keluarga yang terjejas dari segi kewangan ketika musim COVID-19 ini.

Yang Berhormat Menteri seterusnya menjelaskan, dengan ada-nya SKN, kementerian dapat memantau dan prosesnya bukan hanya di peringkat KKBS tapi permohonan juga dilakukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Beliau seterusnya mengongsikan statistik permohonan melalui SKN yang secara keseluruhan sejak 2020 adalah sebanyak 24,494 pendaftaran manakala mereka yang memohon bantuan adalah sebanyak 20,553 iaitu 84 peratus yang telah mendaftar membuat permohonan.

“Daripada jumlah tersebut daripada pihak JAPEM telah menerima sebanyak 10,849 iaitu 53 peratus, manakala MUIB menerima sebanyak 9,704 iaitu 47 peratus,” katanya.

Bercakap mengenai Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR), Yang Berhormat Dato berkata akan berusaha sedaya upaya melaksanakan apa juga permohonan untuk diselesaikan dalam tempoh dua bulan dan melihat kepada trend permohonan orang ramai terhadap bantuan ini, memang COVID-19 memberi kesan kepada orang ramai untuk memohon bantuan.