Thursday, October 6, 2022
24.9 C
Brunei

Lebih 20,000 pokok serlah keindahan Miracle Garden 

-

SERDANG – Lebih 20,000 pokok daripada 77 spesies bunga dan herba digunakan bagi menyerlahkan keindahan konsep Miracle Garden yang mewarnai Laman Florikultur pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) tahun ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata pembinaan landskap yang mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya dan Pos Malaysia itu juga turut menampilkan elemen fauna termasuk penggunaan kira-kira 300 ekor rama-rama serta alunan pancuran air.

Beliau berkata  secara keseluruhan, terdapat lapan taman bunga diketengahkan iaitu Taman Pelangi, Taman Vertikal, Taman Bunga Matahari, Taman Tropika, Taman Petunia, Taman Orkid, Taman Urban dan Taman Inggeris.

Mempunyai keunikan yang berbeza antara satu sama lain, beliau berkata Taman Bunga Matahari diolah dengan menyusun rapat ratusan bunga bagi memberikan impak seakan sinaran mentari, selain dihiasi dengan struktur cermin dan kincir angin bagi memberikan pantulan refleksi serta membangkitkan keinginan pengunjung untuk merakamkan gambar.

“Sementara itu, Taman Tropika pula mengetengahkan lebih 15 daripada spesies tumbuhan herba dan bunga eksotik yang jarang ditemui oleh orang ramai.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan hadir pada Majlis Perasmian Laman Agro-Food Forikultur Miracle Garden Pertanian sempena Pameran MAHA, baru-baru ini. – Bernama
Para pengunjung mengambil peluang singgah ke Castle of Fruits bagi melihat pokok jualan seperti pokok

buah-buahan, sayur-sayuran dan florikultur di Pameran MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, baru-baru ini. – Bernama

“Ini termasuk spesies tumbuhan bunga giant bird of paradise, lempoyang, rattle snake dan sepit udang yang lazimnya hanya boleh ditemui di kawasan hutan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang. 

“Setiap tumbuhan di sini (Taman Tropika) mempunyai fungsi etnobotani yang baik, tidak hanya bersifat cantik malah boleh dijadikan ubat kepada manusia. 

“Oleh itu, apabila berada di taman ini, kami percaya pengunjung akan dapat merasai pengalaman seperti sedang berada di dalam hutan tropika,” katanya kepada Bernama.

Zahimi berkata selain itu, elemen kolam buatan, pancuran air, pagar, gerbang arca dan kerusi taman juga digunakan untuk melengkapi Tanaman Hiasan Semusim serta pokok juniper di Taman Inggeris bagi memberikan pesona seakan Hyde Park, London.

Tambahnya di Taman Bandar pula, pengunjung disajikan kelainan dengan berpeluang melihat beberapa arca bermotifkan daun selain didedahkan dengan aktiviti pertanian bandar yang menggunakan kaedah konvensional iaitu batas tanaman atau raised bed serta pertanian moden hidroponik di laman rumah atau di kawasan kebun komuniti.

“Konsep pertanian ini diharap dapat memberikan panduan kepada pengunjung untuk menjimatkan barangan dapur dan menjana pendapatan sampingan. Antara tanaman yang sesuai untuk penanaman ini ialah pokok limau purut, pokok limau kasturi, kunyit, pandan wangi, pudina, kari dan cili api,” katanya.

Zahimi berkata selain itu, Jabatan Pertanian turut menyediakan pelbagai aktiviti sam-pingan seperti demonstrasi penghasilan produk kecantikan menggunakan bunga dan herba, jualan input pertanian, kuiz dan hiburan santai sepanjang pameran bagi menarik kehadiran kira-kira 1.1 juta pengunjung.

Laman Florikultur adalah satu daripada lapan laman pertanian selain Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas dan Laman Jentera yang mewarnai MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -