Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20,000 tidak didiagnosis

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 26 Jan – Sejumlah 44 peratus daripada kes diabetes di negara ini tidak didiagnosis, bermakna lebih daripada 20,000 orang di negara ini hidup dengan diabetes tetapi belum mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan tidak tahu bahawa mereka mengalami penyakit tersebut dan ini agak membimbangkan.

    Penyakit diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang tidak berjangkit dan terus meningkat dari tahun ke tahun bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.

    Hampir 50,000 daripada penduduk di negara ini mengidap penyakit tersebut dan jumlah itu semakin meningkat dan terus menjadi salah satu punca utama kematian selepas barah dan penyakit jantung.

    Oleh itu, mereka yang mempunyai risiko tinggi seperti mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes 2 (ibu, bapa atau adik-beradik) serta mempunyai berat badan yang berlebihan disarankan supaya segera berjumpa doktor di pusat-pusat kesihatan bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Pegawai Jururawat, Ketua Perkhidmatan Klinik-klinik Pakar Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, Hajah Sadiah binti Haji Mohadi, selaku Ketua Program Pendidikan Diabetes ‘Teraja 7’ hospital tersebut semasa berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah dan Sijil Bagi Peserta program berkenaan yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan Hospital SSB, di sini, hari ini.

    Haji Haris menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Latihan Jururawat Pendidikan Diabetes.
    Haji Haris menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Latihan Jururawat Pendidikan Diabetes.
    Haji Haris menyampaikan hadiah kepada peserta Program Pendidikan Diabetes ‘Teraja 7’ yang berjaya mengawal tahap gula dalam darah.
    Haji Haris menyampaikan hadiah kepada peserta Program Pendidikan Diabetes ‘Teraja 7’ yang berjaya mengawal tahap gula dalam darah.

    Program berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2016 dan Sambutan Ulang Tahun ke-44 Perkhidmatan Hospital SSB, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil-sijil pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

    Hajah Sadiah seterusnya berkata, dalam membantu pesakit-pesakit yang telah didiagnosis menghidap penyakit diabetes di daerah ini, pihak Klinik Pakar Perubatan, Unit Dietetik dengan dibantu Bahagian Pentadbiran Hospital SSB telah mengadakan Program Pendidikan Diabetes ‘Teraja’ sejak tahun 2009 hingga kini.

    Antara matlamatnya adalah bagi mengurangkan atau mengelakkan terjadinya komplikasi-komplikasi dalam kalangan penghidap diabetes seperti kebutaan, penyakit ginjal dan mengudungkan anggota badan.

    Mereka yang mempunyai penyakit diabetes juga mempunyai risiko untuk mendapat serangan jantung atau strok dua hingga empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit itu, tambah beliau.

    Program itu juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran terhadap penyakit diabetes, meningkatkan kefahaman dan pengetahuan melalui ceramah motivasi dan demonstrasi, meningkatkan keyakinan diri pesakit bagi mengecap kejayaan dalam menguruskan kehidupan seharian dan bagi menyahut seruan visi Kementerian Kesihatan 2035 iaitu ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

    Program tersebut diadakan selama sepuluh bulan, sekali setiap bulan (Sabtu) di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan hospital berkenaan dan sepanjang program diadakan seramai 150 orang telah menyertainya dengan 70 orang daripadanya terdiri daripada kakitangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Belait dan selebihnya pula dalam kalangan wakil sektor swasta dan orang awam.

    Pada November 2009, Kumpulan Sokongan Diabetes ‘Teraja’ telah ditubuhkan yang diketuai oleh Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad dan Timbalan Ketua, Hajah Julia Chee untuk Program Pendidikan Diabetes ‘Teraja 8’ dan bagi tahun ini seramai 20 orang telah mendaftar dan ia akan dimulakan pada 18 Februari ini.

    Acara kemuncak majlis penutup berkenaan ialah penyampaian sijil-sijil penyertaan dan penyampaian hadiah kepada enam orang peserta ‘Teraja 7’ yang telah berjaya menepati sasaran kawalan gula dalam darah mereka.

    Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada empat orang ahli Kumpulan Sokongan Diabetes Teraja yang bergiat aktif dan hadir pada setiap sesi pendidikan tahun lalu dan penyampaian sijil kepada jururawat-jururawat yang telah tamat mengikuti Kursus Latihan Jururawat Pendidikan Diabetes yang telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan, bimbingan dan tunjuk ajar kepada pesakit-pesakit dan keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda