Lebih $200,000 dibelanjakan bersih masjid setakat ini

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Hampir $250,000 telah dibelanjakan untuk pembersihan masjid bagi membasmi penularan wabak COVID-19, yang telah dilaksanakan di beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perbelanjaan berkenaan adalah sebahagian besar melalui peruntukan kerajaan dan selebihnya iaitu hampir $100,000 melalui tabung masjid.

Pengeluaran tabung berkenaan bertujuan untuk memastikan masjid-masjid, surau dan balai ibadat di negara ini terjamin selamat sebelum dibukakan kepada orang ramai terutamanya untuk para jemaah.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 13 buah masjid lagi telah dibersihkan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Masjid, pembersihan berkenaan dilaksanakan mengikut jadual dengan bergantung pada kemampuan dan kesempatan syarikat-syarikat yang telah dilantik.

Negara Brunei Darussalam mempunyai sebanyak 118 buah masjid dan hanya 116 buah masjid sahaja dibersihkan memandangkan dua buah masjid berkenaan masih ditutup buat sementara waktu.

Pembersihan masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Masjid bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membasmi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kerja-kerja membersihkan masjid di negara ini terus dilakukan bagi membasmi penularan COVID-19.