Lebih 200,000 orang lengkap vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Seramai 3,775 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat kelmarin (23 Oktober 2021).

Dengan jumlah tersebut, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan kini, seramai 348,212 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 81 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Perkara demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Manakala, 243,769 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 56.7 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Sehubungan itu, kini jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua dicatatkan di Negara Brunei Darussalam ialah sebanyak 591,981 jumlah pemberian, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 377,330 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 76,304 jumlah pemberian.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sejumlah 70,003 pemberian, dan Daerah Temburong sebanyak 68,344 jumlah pemberian.

Rajah menunjukkan suntikan vaksinasi diberikan setakat kelmarin. -Gambar serahan Kem. Kesihatan