Lebih 21,000 terima kurnia peribadi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi Baginda kepada seramai 21,254 orang penerima di seluruh negara.

Para penerima terdiri daripada beberapa golongan iaitu orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang merupakan kali ke-12 itu mula diagihkan hari ini bagi pengurniaan di Daerah Brunei dan Muara, manakala Daerah Belait, Tutong dan Temburong akan bermula esok, 6 Mei.

Pengagihan kurnia peribadi Baginda itu bertujuan bagi membantu meringankan beban golongan-golongan tertentu di negara ini.

Sementara itu, seramai 14,060 orang penerima bagi Daerah Brunei dan Muara, 3,203 orang penerima bagi Daerah Belait, 3,120 orang penerima bagi Daerah Tutong dan 871 orang penerima bagi Daerah Temburong.

Menurut kenyataan, sebagai langkah berjaga-jaga dalam sama-sama menjaga keselamatan semua pihak daripada penularan wabak COVID-19, pengagihan kurnia peribadi Baginda tahun ini adalah selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan mengikut Tahap Keselamatan Operasi 5 (Level 5).

Bagi tujuan tersebut, sebanyak lima pusat pengagihan kurnia telah ditentukan di setiap daerah iaitu Dewan Plenari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan Dewan Bridex, Jerudong bagi Daerah Brunei dan Muara; Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan bagi Daerah Tutong; Dewan Pusat Insani Seria bagi Daerah Belait; dan Dewan PKBN bagi Daerah Temburong.

Sehubungan itu, adalah diharapkan pengagihan kurnia peribadi Baginda itu akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur demi menanai amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Baginda Sultan bagi melihat golongan tertentu di negara ini tidak ketinggalan daripada menerima bantuan Baginda sempena Aidilfitri tahun ini.