Lebih 218 panggilan pokok tumbang diterima

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Dalam tempoh dua bulan setengah kebelakangan, bermula Julai hingga 14 September, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima sebanyak 218 panggilan pokok tumbang, yang mana ia menunjukkan peningkatan serta berada di tahap yang kritikal.

Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 86 panggilan pokok tumbang diterima pada Julai, sebanyak 100 panggilan pokok tumbang diterima pada Ogos dan dari 1 hingga 14 September, sebanyak 32 panggilan pokok tumbang diterima.

Jika dibandingkan dengan panggilan pokok tumbang dari Januari hingga Julai, sebanyak 25 panggilan diterima pada Januari, 26 pada Februari, 27 pada Mac, 43 pada April, 52 pada Mei dan 38 panggilan pada Jun.

Dalam hubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk menggelakkan daripada menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan untuk mengamalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, pada 14 September lalu, lima orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh ABK 59 Junaidi dari Balai Bomba Muara dikerahkan ke panggilan pokok tumbang di kawasan Jalan Masjid, Kampung Tanah Jambu pada pukul 4:12 petang.

Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati sepohon pokok jati telah rebah ke atas jalan raya dan terkena pada tiang lampu serta sebuah bas awam.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan sebuah gergaji rantai dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

JBP menyarankan bahawa pokok merupakan elemen penting bagi manusia dan haiwan akan tetapi ia boleh juga mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang boleh rebah ke rumah semasa cuaca tidak menentu. Pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong sebelum keadaan tidak terkawal serta memastikan untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu, berjalan kaki, berbasikal dan mendaki bukit terutama semasa keadaan cuaca yang tidak menentu kerana dikhuatiri pokok tumbang boleh mendatangkan bahaya kemalangan.

JBP juga menyeru orang ramai bahawa jika berlaku sebarang insiden kemalangan, hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Rajah menunjukkan jumlah panggilan pokok tumbang.